Saturday, 19 January 2013


PILIHLAH JALAN IMAN

MASA beredar detik demi detik, tidak pernah berhenti. Satu detik yang ditinggalkan bererti satu detik umur kita hilang. Satu detik berlalu bermakna satu detik juga bertambah dekatnya kita dengan kematian.

Mati ialah perpindahan kita dari alam dunia ke Alam Barzakh. Di sana Allah akan lanjutkan hidup kita. Kehidupan di sana ialah balasan kepada cara hidup di dunia. Andaikata yang kita pilih di dunia ialah kehidupan beriman dan beramal baik maka di Barzakh kita akan menerima ganjaran kebaikannya. Sebaliknya kalau di dunia kita kufur dan beramal jahat, maka di Alam Barzakh Allah akan balasi kita dengan balasan yang setimpal, akan kekallah kita begitu, hingga tibanya Hari Qiamat, di mana Allah akan sempurnakan pembalasan kepada hamba-hamba-Nya.

Firman Allah SWT:

Terjemahan: Kalau matahari digulung. Dan apabila bintang berguguran. Dan apabila gunung-gunung dihancurkan. Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan. Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan apabila lautan dijadikan meluap Dan apabila roh-roh dipertemukan dengan tubuh. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, tentang dosa apakah dia dibunuh. Dan apabila catatan amal manusia dibuka. Dan apabila langit dilenyapkan. Dan apabila Neraka Jahim dinyalakan. Dan Syurga didekat. Maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan. (At Takwir: 1-14)

Di Hari Qiamat akan bangkitlah manusia dari Alam Barzakh dalam bentuk sepertimana yang diwarisi semasa hidup di dunia. Orang yang beriman adalah golongan yang berjaya. Allah memberitahu khabar gembira ini dengan firman-Nya:

Terjemahan: (Pada Hari Qiamat) banyak muka pada hari itu berseri-seri. Merasa senang kerana usahanya. Dalam Syurga yang tinggi. Tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna. Di dalamnya ada mata air yang mengalir. Di dalamnya ada takhta-takhta yang ditinggikan. Dan gelas-gelas yang terletak. Dan bantal-bantal sandaran yang tersusun. Dan permaidani-permaidani yang terhampar. (Al Ghaasiyah: 8-16)

Sebaliknya orang-orang yang ingkar dan menderhaka kepada Allah, adalah golongan yang gagal dan menderita. Firman Allah:

Terjemahan: Banyak muka pada hari itu tunduk terhina. Bekerja keras lagi kepayahan. Memasuki api yang sangat panas. Diberi minum (air) dari sumber yang sangat panas. Mereka tiada memperolehi makanan selain dari pohon yang berduri. Yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar. (Al Ghaasiyah: 2-7)

Di Hari Qiamat manusia dikelaskan hanya dua kelas; iman atau kafir. Tidak ada kelas ketiga. Siapa yang dapat masuk ke kelas iman, berbahagialah dia dalam Syurga selamanya. Siapa yang terpaksa masuk kelas kafir, menderitalah dia dalam Neraka selamanya. Siapakah dari kita yang mahu dan sanggup menerima penderitaan? Diuji dengan sedikit kesusahan di dunia ini pun kita sudah keluh-kesah dan tidak sabar, apalagi kalau selamanya dibenamkan di dalam api, dengan segala penyeksaan dan penghinaan yang dahsyat. Sesungguhnya tidak akan ada siapa pun yang mahu.

Kalau begitu kita tidak ada pilihan lain selain beriman. Dalam peluang hidup yang masih ada ini, kita masih berpeluang untuk memilih. Maka pilihlah jalan hidup beriman. Jalan yang telah diterokai oleh nabi dan rasul. Jalan yang telah ditunjukkan oleh Al Quran dan Sunnah. Jalan yang lurus, yang kita pohon setiap kali mendirikan sembahyang:

Tunjukilah kami (ya Allah) jalan lurus.
Jalan mereka yang Engkau beri nikmat.
Bukan jalan mereka yang Engkau murkai.
Tidak juga jalan mereka yang sesat.

Jalan itu adalah kehidupan yang diasaskan atas rasa cinta pada Tuhan, rindukan Syurga dan takutkan Neraka di Akhirat. Dengan tiga bentuk perasaan itu, mereka sentiasa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan. Mereka sentiasa melebihkan kepentingan Akhirat dari kepentingan dunia mereka. Sifat-sifat mereka Allah cantumkan dalarn Al Quran dengan firman-Nya:

Terjemahan: Adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya, dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya. (An Naaziat: 40-41)

Tidak pernah berniat untuk menderhaka kepada Allah sebaliknya mereka sentiasa merancang dan bersedia untuk berbakti pada Allah.

Sudah menjadi Sunnatullah bahawa jalan-Nya ini adalah susah dan payah. Menempuhnya bererti menyusahkan diri dengan segala pengorbanan yang besar-besar. Bagaimanapun ia adalah paling mulia. Jalan inilah yang telah ditempuh oleh para anbia dan mursalin, orang-orang muqarrobin dan orang-orang solehin. Mereka itu semuanya telah berjaya sampai ke hujung dan sekarang sedang menghadapi nikmatnya. Kita yang masih tinggal, jalanilah terus. Usah ragu dan bimbang. Kepayahan yang sedang kita tanggung sebenarnya ialah harga kebahagiaan yang akan kita terima nanti. Insya- Allah.

Semoga Allah memandu kita dengan taufik dan hidayahNya, agar kita tetap di atas jalan-Nya. Semoga umur yang masih diizinkan ada pada kita, dapat kita pergunakan sepenuhnya untuk berbakti kepada-Nya. Amin. Amin. Amin ya Rabbal 'Alamin.


DIALOG TUHAN DENGAN AKAL & NAFSU


Dalam sebuah kitab karangan ‘Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : “Wahai akal mengadaplah engkau.”

Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Wahai akal berbaliklah engkau!”, lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : “Wahai akal! Siapakah aku?”. Lalu akal pun berkata, “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.” Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : “Wahai nafsu, mengadaplah kamu!”. Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau.”

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun.

Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, ” Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah Tuhanku.” Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.


KEMULIAAN WANITA


Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Riwayat Muslim, "Harta yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." 



Ramai manusia menisbahkan kemulian wanita pada kecantikan semata-mata. Ada juga yang menisbahkan kemuliaan mereka pada kekayaan, dan tidak kurang juga pada keturunan. Tetapi ini semua adalah penilaian oleh insan yang buta mata hatinya. Sesungguhnya kemuliaan semua makhluk Allah SWT adalah terletak pada tahap keTAQWAan kepada Allah SWT. Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.  Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita, walaupun mereka diselubungi kelemahan, tapi teriakan mereka mampu merubah segalanya. 

Kerana itulah sebagai anak, dia perlu menjadi anak yang solehah. Manakala sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. Sebagai ibu pula, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih dan sayang.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat ke-24 yang bermaksud, "Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."
 
Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi.
Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, sesuai dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud,
 
"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu." - Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Nilai wanita bukan terletak pada pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasan dalam pergaulan.
Wanita solehah itu adalah wanita yang tegar menjaga maruah serta apa yang lahir dari dirinya, dari hujung rambut hingga hujung kaki, termasuklah wajahnya, suaranya, senyum tawanya, jalannya, tulisannya hatta namanya sekalipun.

Wajahnya bukan aurat tetapi ada kalanya ia menjadi aurat. Dalam mazhab syafie ada khilafnya berdasarkan ayat ke-30 dalam surah an-Nur. Allah melarang wanita beriman menunjukkan perhiasannya, kecuali apa yang telah zahir daripadanya. Ulama Syafie berpendapat makna "apa yang zahir daripadanya" adalah muka dan tapak tangan, tetapi bagi wajah yang boleh mengundang fitnah, ia tetap menjadi aurat.

Wanita yang khuatir wajahnya boleh melalaikan lelaki yang memandangnya pasti akan menganggapnya sebagai aurat, lalu mengenakan purdah pada wajahnya. Mungkin berat bagi wanita bergelar remaja untuk mengamalkannya, tapi cukuplah dengan tidak terlalu menonjolkan diri mereka di hadapan ajnabi atau tidak menjadikan wajah mereka sebagai paparan umum seperti friendster, facebook dan lain-lain.
Suaranya bukan aurat, tapi ada kalanya ia menjadi aurat. Wanita yang memahami erti kesolehan tidak akan melembutkan suaranya di hadapan ajnabi kerana memahami perintah Allah SWT.

"Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam bebicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit hatinya." (Surah Al-Ahzab, 33)

Jadi, bertegaslah apabila berurusan dengan lelaki ajnabi. Pergaulan yang betul telah Allah ajarkan melalui kisah dua orang puteri Nabi Syuib AS. Bagaimana mereka ketika ingin memberi minum haiwan ternakan, mereka dapati ramai pengembala di sumur. Hajat mereka tidak kesampaian. Nabi Musa AS telah mengambil alih tugas mereka. Apabila selesai memberi minum haiwan ternakan tersebut, salah seorang daripada puteri tersebut mendatangi Nabi Musa AS dengan keadaan malu untuk menyampaikan pesanan ayahnya menjemput Nabi Musa AS ke rumahnya.

Daripada peristiwa ini, Allah menggambarkan wanita solehah itu adalah wanita yang tidak memdedahkan dirinya kepada pandangan umum. Apabila ia berurusan dengan lelaki ajnabi, maka ia akan tunduk dan melahirkan rasa malu. Berurusanlah dengan ajnabi tanpa mendatangkan keadaan khalwat (berdua-duaan).

Khalwat paling mudah berlaku dalam hubungan cinta terlarang. Khalwat juga adalah bunga-bunga zina. Berbual-bual di telefon atau SMS di antara lelaki dan wanita kerana dasar cinta terlarang sehingga menyebabkan nafsu syahwat bergelora juga dikira sebagai khalwat kerana ia berlaku secara berdua-duaan.

Saidina Umar r.a berkata, "Aku lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada berjalan di belakang seorang wanita."

Seorang wanita solehah tidak akan membiarkan lelaki berjalan di belakangnya kerana dia faham seribu satu fitnah boleh timbul daripada keadaan tersebut. Bagaimana pula keadaan wanita yang tidak melabuhkan jilbabnya apabila lelaki berjalan di belakangnya?

Maka, labuhkanlah tudungmu. Ketahuilah bahawa pada pagi hari perintah berjilbab diwahyukan kepada Rasulullah SAW, seorang sahabiyah yang masih tidak tahu tentang wahyu tersebut telah keluar dari rumahnya tanpa jilbab. Kemudian seseorang telah menegurnya, "Mengapa engkau tidak berjilbab, adakah engkau tidak tahu tentang perintah memakainya?"

Lalu wanita tersebut berhenti melangkah dan menyuruh seseorang mengambil jilbabnya, lalu beliau berkata, "Aku tidak mahu selangkah pun aku berjalan dalam keadaan melanggari perintah Allah SWT."
Malangnya hari ini apa yang terjadi kepada wanita Islam; bertahun-tahun belajar Islam tetapi masih tiada kekuatan untuk mengamalkannya.

Saudariku,

Bangkitlah dari lenamu yang panjang dan tidak berkesudahan. Sekali kamu terjatuh, jangan biarkan diri kamu jatuh selamanya. Kamu punya kekuatan untuk bangkit semula, walaupun kita berdosa sebanyak buih yang memutih di lautan. Yakinlah kasih sayang dan keampunan Allah terlalu luas.

Saudariku,

Hidup ini seperti mimpi, seorang pengemis bermimpi menjadi seorang raja, dipuji dan dipuja, segala kemuliaan dan kekayaan tunduk kepadanya, tapi bila dia sedar dari lenanya, dia masih seorang pengemis yang miskin dan tidak punya apa-apa.

Seorang raja yang bermimpi, menjadi seorang pengemis yang miskin dan hodoh, dia dihina dan dikeji di setiap persimpangan yang dilalui, tapi bila raja itu sedar dari lena, dia tetap seorang raja.

Matanglah dalam urusan akhiratmu. Jangan kerana kesenangan dunia yang sementara, kau sanggup menempah sengsara di akhirat selamanya.

Janganlah kerana kasih makhluk yang sementara, kau hilang kasih Allah SWT di akhirat sana. Jika kau hilang kasih Allah SWT, nescaya kau akan hilang segalanya.

Saudariku,

Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,

"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang" 
Jangan kau berasa bangga dengan kecantikanmu sehingga kau dikejar jutaan lelaki. Itu bukan kemuliaan bagimu. Jika kau berasa bangga, kau menyamakan dirimu dengan pepasir di pantai, yang boleh dipijak dan dimiliki sesiapa sahaja. Muliakanlah dirimu denganTAQWA, setanding mutiara Zabarjad, yang hanya mampu dimiliki penghuni syurga.


 

JENIS ULAMA' AKHIR ZAMAN


Ada golongan ghairah sangat membanteras ajaran sesat
Ada yang tidak sesat disesatkan kerana hasad
Bahkan yang benar-benar sesat dimusnahkan agak lambat
Kerana mereka membanteras itu bukan ikhlas
Mereka hanya mahu hancurkan golongan yang mereka hasad
Kerana mereka mendapat tempat di hati masyarakat
Dicari-carilah kesalahan mereka
Walaupun sebesar habuk diisytiharkan sesat
Membanteras ajaran sesat semata-mata Islam tidak akan berdaulat
Mereka yang menentang ajaran sesat yang ada kuasa agama kenalah buat
Berilah ilmu dan tunjuklah jalan dan suri teladan di dalam kehidupan
Ilmu tidak diberi suri teladan terhadap rakyat akan dipersoalkan oleh segelintir yang menguat kuasakan agama
Yang penting tunjuk jalan dan suri teladan untuk ikutan
Di bidang kemajuan, ibadah yang baik, akhlak yang mulia kenalah tunjukkan
Kalau songkok pun tidak dipakai waktu berjalan orang ramai akan pertikaikan
Macam mana ulama’-ulama’ yang ada autoriti kepala gondol boleh jadi suri teladan
Setakat menyesatkan orang Islam tidak akan berdaulat di dalam kehidupan
Para ulama’ terutama ulama’ rasmi mestilah jadi ikutan
Kalau tidak ada suri teladan orang akan berkata selamat jalan
Cakap saja berdekah-dekah tidak serupa dengan perbuatan
Orang akan mencemik bahkan bercakap-cakap di belakang,
Tidak malukah dibualkan orang
Janganlah berlagak hero agama
Orang sekarang sudah pandai-pandai tidak mudah dikelirukan
Orang sudah faham siapa orang agama siapa orang yang menggunakan agama
Orang menggunakan agama berlagak hero agama, orang takkan pedulikan
Orang beragama walaupun difitnah menjadi ikutan orang
Tidak payah berlagak hero agama, kalau kita benar diikut orang
Walau ada kuasa sudah tekan orang namun tidak diikut orang
Orang ramai faham siapa orang agama patut menjadi ikutan
Walaupun mereka difitnah, dihalang namun mereka disayangi orang
Kalau pendidik tidak ada identiti agama, walaupun memperjuangkan agama diketawakan orang
Sebenarnya orang ini sakit hati, ada kuasa agama, tidak dipedulikan orang
Ada orang lain tidak ada kuasa agama, tapi beragama disayangi dan dijadikan ikutan
Yang ada kuasa agama tapi tidak beragama ditinggalkan orang
Kalau kita ada kuasa agama tidak diikut orang, adalah yang tidak kena di dalam perbuatan
Orang ramai bukan boleh dipaksa diri ikut orang
Orang ramai boleh menilai mana yang dikata kaca, yang mana intan
Yang mana emas sepuluh dan yang mana emas sembilan
Yang mana orang agama kerana cari makan
Dan yang mana orang yang memperjuangkan agama kerana Tuhan.
Orang yang ada kuasa agama bukan hendak mengamalkan agama tetapi sibuk menyesatkan,
Yang disesatkan itu pula secara semberono tanpa periksa secukupnya,
Yang benar-benar sesat pula lambat diambil tindakan,
Kerana mereka tidak mencabar pula agama maka dibiarkan berlama-lama,
Golongan yang mencabar penguasa agama kerana pengaruhnya dicari pasal,
Kerana sakit hati dan hasad dengki dicari-carilah kesalahan kemudian dibisingkan,
Pihak penguasa agama sekarang ini macam cacing kepanasan,
Menggila-gila menyesat sekalipun kerajaan membiarkan,
Baru sedikit kuasa sudah rasa sudah jadi kerajaan,
Padahal tanggungjawab mereka besar tapi tidak berjalan,
Hendak menutup kelemahan dicarilah kesalahan orang,
Akhirnya kerana tidak bertanggungjawab di dalam surat khabar di dedahkan,
Tapi mereka ini sudah tidak malu, kerana mereka tidak takutkan Tuhan,
Akibatnya mereka ini dibual-bualkan orang di tempat ramai
terutama di tempat makan,
Bahkan mereka tidak dipedulikan dan tidak dijadikan ikutan
Makinlah sakit hatinya kepada golongan yang diikut orang
Lagi orang benci, lagi orang tidak pedulikan, lagi orang tidak segan
Membuat syarahan sedikit orang datang
Yang mendengar hanya belasan orang
Itu pun orang-orang tua yang datang sembahyang
Orang-orang muda, golongan intelek memulaukan
Tapi kerana mencari makan walaupun tidak ramai yang mendengarnya
syarahan diteruskan
Kasihan syarahan mereka orang tidak minat mendengarnya
kerana beragama itu hanya lakonan
Malu juga rasanya bila tidak ada sambutan
Tapi kerana cari makan malu pun tidak mengapa
Kalau tidak apa hendak makan?
Begitulah ahli agama cari makan
Golongan yang dia tidak suka disesatkan
Golongan yang benar-benar sesat dilambat-lambatkan ambil tindakan
Orang kampung boleh dikelirukan
Orang-orang pandai yang berakal boleh menimbang salah dan benar
payah hendak dikelirukan
Akhirnya golongan yang dihasad diterima orang
Orang yang pura-pura beragama disisihkan
Bahkan dibual-bualkan orang hasad dengki mereka di dalam percakapan
Itulah hukuman Tuhan di dunia sebelum Hari Pembalasan
Kita doakan moga-moga mereka insaf dan kembali ke pangkal jalan



ADAB TERHADAP GURU



Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.

Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.

Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)

Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.

Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.

Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.

Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.

Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)

Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.

Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.

Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.

Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat.

 Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.

Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.





Memberi ilmu kepada murid mudah,
mengajak murid mengamalkan ilmu amat susah
Membanyakkan ilmu mudah,

membanyakkan amalan susah sekali
Ahli ilmu ramai, ahli amal tidak ramai
Ramai para guru dapat memandaikan murid-muridnya
Tapi ramai para guru gagal mengajak muridnya beramal
Kalau ahli-ahli ilmu ghairah beramal tidak sempat hendak menbincangkan tentang ilmu kecuali sedikit sekali dengan tujuan beramal
Orang yang kurang ilmu tapi beramal dari amalannya itu akan mendapat ilmu atau menambah ilmu
Ahli ilmu yang tidak beramal, ilmunya itu akan bertambah berkurang
Ilmu apabila diamalkan baru dapat faedah
Bahkan adakalanya faedahnya melimpah ruah kepada orang ramai
Hari ini ahli ilmu disanjung orang
Tapi ahli amal tidak dipeduli orang bahkan adakalanya tidak pun disebut-sebut namanya
Kebanyakan di institusi ilmu tidak begitu mengambil berat di dalam latihan-latihan beramal
Ramai di kalangan yang bukan ahli ilmu lebih maju dan berjaya dari pakar-pakar ilmu
Terutama di bidang ekonomi yang tidak ada sijil ekonomi lebih berjaya daripada mereka yang ada kelulusan
Ramai orang bercakap tentang ilmu, tapi kurang yang bercakap tentang amal

Ahli ilmu adakalanya dihormati orang, tapi ahli amal ilmu adakalanya didengki orang
Ilmu semata-mata tidak akan melahirkan kemajuan yang lahir selagi tidak diamalkan.

Apabila hati manusia telah buta
Atau jika hati manusia telah mati
Perasaannya yang positif sudah tidak ada lagi
Kasih sayangnya hilang, rasa simpatinya gersang
Bertimbang rasa sesama manusia lenyap sama sekali
Belas kasihannya tercabut sama sekali dari jiwanya
Maaf-bermaafan tidak akan berlaku sesama manusia
Di waktu itu hatinya kejam, jiwanya keras
Kalau dia menzalim atau menganiaya manusia, terhibur hatinya
Kalau dia disinggung orang, sangat berdendam
Jika orang mendapat kesusahan gembira hatinya
Puas hatinya melihat orang di dalam penderitaan
Dia jadi orang pemarah, emosional dan pemberang
Jangan ada orang yang mencabarnya, dia tidak sabar
Dia akan bertindak balas kepada orang itu
Kalau mendapat pangkat, kekayaan, sombongnya terserlah
Jika mendapat kesusahan atau ujian, aduh sungguh derita jiwanya
Sentiasa sahaja keluh-kesah, resah dan gelisah
Marah-marah pun tiba, hingga sikap tidak normal lagi
Pantang diberi ingatan dan nasihat
Payah mahu menerima bahkan dia tersinggung
Sakit hati pun membara kepada orang itu
Begitulah jika hati manusia sudah buta
Atau kalau jiwa manusia telah mati
Oleh itu hati kenalah jaga
Jangan biarkan ia BUTA atau MATI